Koleksi tip dan petua dapur eRESIPI.COM

Elak sayur layu dalam peti ais

Sayur disimpan lama dalam peti ais akan mudah layu dan tak enak untuk dimakan, khasiat pun boleh berkurangan. Nak tahu cara lebih baik simpan sayur dalam peti ais? Setelah dibasuh bersih, sayur dibungkus kertas, dibalut pula dengan plastik hitam. Simpan semula dalam peti ais, cara ni buat sayur tahan lebih lama. – Rosnah Soalman, JB

Garam kasar, garam halus

Apa bezanya garam kasar dan garam halus? Garam kasar lebih enak dan lemak rasanya berbanding garam halus yang lebih pahit. Untuk gulai atau kari, penggunaan garam kasar adalah lebih baik untuk enakkan gulai! – Haniza Ibrahim, KL

Hilangkan bau hanyir ikan sungai

Bau hanyir ikan sungai sukar dihilangkan selepas dibersihkan. Kalau sebelum ini tuan-puan menggunakan rendaman air asam jawa untuk menghilang bau ikan, apa kata kalau kali ini tambahkan pula dengan asam limau dalam rendaman tersebut, insyaallah hanyir ikan hilang! – Sariah Omar, Gombak

Rahsia pelepah pisang

Pelepah pisang boleh digunakan untuk membersihkan siput sedut atau kerang. masukkan beberapa potongan pelepah pisah ke dalam air rendaman kerang atau siput. Kocak serta ramah pelepah pisang bersama kerang atau siput. Kotoran mudah dibersihkan. – Azizah Abdullah, Machang, Kel

Lumatkan cili

Ada ketikanya cili yang dikisar menjadi tidak cukup halus dan berkeping-keping. Jangan risau, kita atasinya dengan masukkan dua sudu teh minyak masak dan air. Tentu cili yang dikisar menjadi lebih lumat dan halus berbanding biasa. – Missiah Haji Raimi, Bintulu, Sar

Cucur lebih lembut dan enak

Untuk dapatkan cucur yang lebih lembut dan enak, adunan tepung cucur dan telur adalah nisbah 1:7. Setelah adunan tepung sebati, taburkan sedikit serbuk roti ke atas adunan dan jemur di tempat panas selama 15 minit. Kemudian goreng dengan minyak yang banyak. Selamat mencuba. – Zaleha Mohamed, Taman Setiawangsa, KL

Lembutkan kembali roti

Roti yang seharian disimpan menjadi agak keras dan tak sedap untuk dimakan. Masalah ini boleh diatasi untuk lembutkan kembali roti. Basahkan sehelai kain bersih, perah airnya dan bungkus roti tersebut. Biarkan seketika dan keluarkan semula roti dari balutan kain. Bakar dalam ketuhar dengan suhu sederhana. Hasilnya roti boleh lembut kembali. – Fadzilah Hassan, Alor Star, Kedah

Elak lipas dalam almari

Petua mudah untuk elakkan atau hindarkan lipas dalam almari yang membuatkan almari kotor dan berbau busuk. Ambil beberapa helai daun pandan, pintal dan koyakkan sedikit untuk keluarkan baunya. Kemudian letakkan daun pandan tersebut sama ada dalam almari baju atau kabinet dapur yang selalu menjadi tempat lipas. Insyaallah lipas tidak akan akan berada di situ. – Musliha Muhsan, Klang, Sel

Sayur lebih bersih

Tentunya sayur yang dijual di pasar akan menggunakan racun serangga untuk elakkannya dimakan ulat. Jangan risau kalau anda membeli sayur yang ada lubang ulat pada daunnya, kerana menunjukkan racun yang kurang digunakan. Untuk pastikan sayur yang ingin dimasak bebas dari racun serangga dan lebih bersih, cuma rendamkan sayur tersebur ke dalam air yang bercampur garam, biarkan seketika. Bersihkan dan bolehlah dimasak. Insyaallah, sayur lebih bersih dan bebas dari racun serangga. – eResipi.com

Lauk Terlebih Masin

Ada ketikanya kita terlebih garam tanpa disengajakan, lauk yang kita masak menjadi terlebih masin dan tentunya kurang enak untuk dimakan. Untuk mengatasi masalah ini, ambil sedikit daun pisang, cuci sehingga bersih. Kemudian masukkan kedalam masakkan itu tadi. Inshaallah rasa masin akan berkurangan.

Sayur segar dengan cuka

Jika menyimpan sayur beberapa hari dalam peti sejuk, kesegarannya akan hilang. Untuk kembalikan kesegarannya, rendam sayur-sayuran tadi di dalam air yang dicampur sedikit cuka beberapa minit. Selain dapat mengembalikan kesegarannya, cuka juga bertindak menghilangkan kotoran pada sayur. – Masnah Marzuki, Muar, Johor